p e e d e e t i g a

Thursday, November 14, 2013

Pembayar, Penerima Zakat dan Golongan Asnaf Zakat

PEMBAYAR DAN PENERIMA ZAKAT

Pembayar Zakat disebut dengan istilah muzakki.Dua syarat asas yang perlu ada pada muzakki ialah:

1. Islam

2. Merdeka

Penerima Zakat digelar mustahik.Mereka terdiri daripada lapan golongan yang disebut sebagai asnaf zakat.Asnaf zakat dinyatakan dengan jelas oleh Allh SWT dalam Al-Quran.Firman-Nya:

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang , dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah SWT, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.(Ketetapan hukum yang sedemikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah SWT.Dan (ingatlah) Allah SWT Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(At-Taubah 9:60)"

Berikut adalah huraian lapan golongan asnaf zakat:


Fakir
Golongan miskin tegar yang hanya mampu memenuhi kurang daripada separuh keperluan diri dan keluarganya.Contohnya, jika si A memerlukan RM10 sehari, dia hanya mampu memperoleh RM3 atau RM4 sahaja.


Miskin
Golongan yang hanya mampu memenuhi lebih separuh daripada keperluan tetapi masih belum memenuhi keperluan sebenar.Misalnya jika si B memerlukan RM10 sehari, dia hanya mampu mendapat RM6 atau RM7 sahaja.


Amil
Orang yang diamanahkan urusan mengutip dan mengagihkan kembali harta zakat.Mereka juga dinamakan pengurus zakat.Amil perlu dilantik oleh imam atau pemerintah Islam dan mempunyai pra-syarat tertentu, seperti berilmu ataufaqih, muslim yang soleh, bersifat amanah, kuat dan sihat minda dan fizikalnya.


Mualaf
Orang yang baru memeluk Islam ataupun belum memeluk Islam tetapi hatinya sudah terpaut dengan Islam.Di Selangor, seseorang diiktiraf sebagai mualaf sehingga lima tahun selepas dia memeluk agama Islam.Selepas lima tahun, mereka dianggap mukalaf iaitu sudah boleh dipertanggungjawabkan dengan syariat Islam.


Riqab
Hamba yang diberi peluang oleh tuannya untuk menebus diri.Memandangkan tidak ada lagi hamba pada hari ini, ulama telah memberi tafsiran baru terhadap maksud riqab.Antara golongan yang dimasukkan ke dalam asnaf ini ialah pelacur, penagih dadah, orang yang terseleweng akidahnya dan mereka yang sudah rosak akhlaknya yang terjebak atau terperangkap ke lembah kerosakan tanpa kerelaan dan keterpaksaan, dan mereka mahu kembali ke pangkal jalan.Mereka layak dibantu dengan asnaf riqab sehingga pulih kembali.


Gharimin
Orang yang berhutang atas sebab-sebab yang makruf dan halal di sisi syariat.Hutang berkenaan meliputi kepentingan diri dan juga ummah.Misalnya berhutang untuk mendapatkan rawatan atau pendidikan dan juga hutang pembinaan masjid dan institusi ummah yang lain.


Fisabilillah
Kerja-kerja bagi maksud pengembangan agama Islam yang tidak terbatas hanya kepada peperangan sahaja.Fisabilillah juga bersifat membawa kepada kebaikan kepada ummah dan agama Islam secara umum dengan natijah akhirnya membawa seluruh manusia ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT.Hari ini, dana fisabilillah dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan ummah, meliputi bidang agama, perubatan dan kejuruteraan, membina prasarana umat Islam seperti masjid dan sekolah dan juga bagi tujuan dakwah dan mempromosikan syiar Islam.


Ibnu Sabil
Orang yang mahu membuat sesuatu perjalanan atau sedang dalam perjalanan dengan tujuan yang makruf (baik) di sisi syariat Islam.Misalnya mahu melanjutkan pendidikan, mencari pekerjaan dan berdakwah, lalu kehabisan perbelanjaan atau dibimbangi tidak cukup wang bagi meneruskan perjalanan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...