p e e d e e t i g a

Thursday, November 14, 2013

Pembayar, Penerima Zakat dan Golongan Asnaf Zakat

PEMBAYAR DAN PENERIMA ZAKAT

Pembayar Zakat disebut dengan istilah muzakki.Dua syarat asas yang perlu ada pada muzakki ialah:

1. Islam

2. Merdeka

Penerima Zakat digelar mustahik.Mereka terdiri daripada lapan golongan yang disebut sebagai asnaf zakat.Asnaf zakat dinyatakan dengan jelas oleh Allh SWT dalam Al-Quran.Firman-Nya:

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang , dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah SWT, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.(Ketetapan hukum yang sedemikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah SWT.Dan (ingatlah) Allah SWT Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(At-Taubah 9:60)"

Berikut adalah huraian lapan golongan asnaf zakat:


Fakir
Golongan miskin tegar yang hanya mampu memenuhi kurang daripada separuh keperluan diri dan keluarganya.Contohnya, jika si A memerlukan RM10 sehari, dia hanya mampu memperoleh RM3 atau RM4 sahaja.


Miskin
Golongan yang hanya mampu memenuhi lebih separuh daripada keperluan tetapi masih belum memenuhi keperluan sebenar.Misalnya jika si B memerlukan RM10 sehari, dia hanya mampu mendapat RM6 atau RM7 sahaja.


Amil
Orang yang diamanahkan urusan mengutip dan mengagihkan kembali harta zakat.Mereka juga dinamakan pengurus zakat.Amil perlu dilantik oleh imam atau pemerintah Islam dan mempunyai pra-syarat tertentu, seperti berilmu ataufaqih, muslim yang soleh, bersifat amanah, kuat dan sihat minda dan fizikalnya.


Mualaf
Orang yang baru memeluk Islam ataupun belum memeluk Islam tetapi hatinya sudah terpaut dengan Islam.Di Selangor, seseorang diiktiraf sebagai mualaf sehingga lima tahun selepas dia memeluk agama Islam.Selepas lima tahun, mereka dianggap mukalaf iaitu sudah boleh dipertanggungjawabkan dengan syariat Islam.


Riqab
Hamba yang diberi peluang oleh tuannya untuk menebus diri.Memandangkan tidak ada lagi hamba pada hari ini, ulama telah memberi tafsiran baru terhadap maksud riqab.Antara golongan yang dimasukkan ke dalam asnaf ini ialah pelacur, penagih dadah, orang yang terseleweng akidahnya dan mereka yang sudah rosak akhlaknya yang terjebak atau terperangkap ke lembah kerosakan tanpa kerelaan dan keterpaksaan, dan mereka mahu kembali ke pangkal jalan.Mereka layak dibantu dengan asnaf riqab sehingga pulih kembali.


Gharimin
Orang yang berhutang atas sebab-sebab yang makruf dan halal di sisi syariat.Hutang berkenaan meliputi kepentingan diri dan juga ummah.Misalnya berhutang untuk mendapatkan rawatan atau pendidikan dan juga hutang pembinaan masjid dan institusi ummah yang lain.


Fisabilillah
Kerja-kerja bagi maksud pengembangan agama Islam yang tidak terbatas hanya kepada peperangan sahaja.Fisabilillah juga bersifat membawa kepada kebaikan kepada ummah dan agama Islam secara umum dengan natijah akhirnya membawa seluruh manusia ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT.Hari ini, dana fisabilillah dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan ummah, meliputi bidang agama, perubatan dan kejuruteraan, membina prasarana umat Islam seperti masjid dan sekolah dan juga bagi tujuan dakwah dan mempromosikan syiar Islam.


Ibnu Sabil
Orang yang mahu membuat sesuatu perjalanan atau sedang dalam perjalanan dengan tujuan yang makruf (baik) di sisi syariat Islam.Misalnya mahu melanjutkan pendidikan, mencari pekerjaan dan berdakwah, lalu kehabisan perbelanjaan atau dibimbangi tidak cukup wang bagi meneruskan perjalanan tersebut.

Nisab, Kadar dan Haul

NISAB, KADAR DAN HAUL

    Nisab ialah batas minimum harta yang dimiliki yang mewajibkan seseorang berzakat.Secara umum nisab zakat harta bersamaan 85g emas (20 misqal).Misqal ialah ukuran timbangan emas yang dijadikan ukuran zakat sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

"Kamu tidak diwajibkan membayar zakat emas kecuali apabila telah cukup 20 misqal, sekiranya telah cukup 20 misqal kamu perlu membayar zakatnya sebanyak setengah misqal. (Riwayat Abu Dawud dan Baihaqi)"

    Satu misqal bersamaan 4.25g.Disebut juga dengan 'dinar' kerana wang satu dinar biasanya dicetak dengan menggunakan emas seberat satu misqal.Maka 20 dinar menyamai 4.25g x 20 = 85g.


     Kadar bermaksud jumlah yang perlu dikeluarkan sebagai zakat.Secara umum, kadar zakat harta ialah 2.5 peratus (1/40) daripada jumlah harta yang dimiliki.


Kadar dan nisab ini ditentukan oleh Rasulullah SAW berdasarkan sabda Baginda:

 "Apabila kamu memiliki 200 dirham yang telah mencapai masa haul, zakat yang wajib dikeluarkan daripadanya ialah lima dirham.Kamu tidak berkewajipan apa pun dalam emas, kecuali kamu mempunyai 20 dinar.Apabila kamu mempunyai 20 dinar yang telah mencapai haul, zakat yang wajib dikeluarkan daripadanya ialah 0.5 dinar (1/2 dinar).(Riwayat Abu Dawud dan Baihaqi)"

    Haul ialah tempoh harta perlu disimpan sebelum ditunaikan zakatnya, iaitu 12 bulan mengikut kalendar Hijrah.Secara umum haul bagi zakat harta adalah satu tahun hijrah.Walau bagaimanapun demi kemaslahatan umut, haul yang dikira mengikut kalendar Masihi masih diterima memandangkan urusan seperti gaji diberi mengikut kiraan kalendar Masihi.

Wednesday, November 13, 2013

Pengertian Zakat



 Pengertian Zakat

Zakat berasal daripada perkataan Arab, iaitu zakaa yang bermakna bersih dan suci.Allah SWT menjelaskan makna zakaa dalam Al-Quran melalui firman-Nya:


"Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu.(As-Syams 91: 9)"

 
    Para ulama memberi makna zakaa sebagai subur, berkat dan terpuji.

    Dapat disimpulkan erti zakat iaitu membersihkan harta daripada bercampur dengan hak orang lain, kemudian menyucikan jiwa manusia daripada sifat tamak haloba dan iri hati lalu menumbuhkan sifat terpuji sesama manusia.

    Pengertian zakat daripada sudut syarak adalah harta tertentu yang dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu kepada golongan (orang-orang) tertentu (asnaf).


Kewajipan Berzakat

    Islam adalah agama tolong-menolong (ta'awun) dan agama sejahtera.Allah SWT mewajibkan zakat kepada hamba-hamba-Nya yang berkemampuan untuk membantu golongan yang memerlukan pembelaan, seterusnya menjamin kemakmuran dalam masyarakat.

    Bagi golongan kaya, zakat menjadi mekanisme yang mendidik jiwa mereka supaya sentiasa tunduk kepada Allah SWT.Dengan kata lain, ibadah zakat berupaya menyucikan jiwa golongan kaya daripada sifat-sifat tamak haloba dan mementingkan diri sendiri.

    Dengan terlaksananya amalan zakat dalam masyarakat, kekayaan tidak terkumpul dalam kalangan golongan kaya sahaja.Sebaliknya sebahagian daripada kekayaan itu dikongsi bersama golongan susah dan memerlukan.Semakin kaya umat Islam, semakin banyak zakat dapat dikutip.Semakin banyak pula harta yang dapat diagih-agihkan kepada asnaf yang layak.Natijahnya, negara menjadi makmur di bawah lembayung zakat ini.
 
Syarat-syarat Wajib Zakat

Ada lima syarat am yang mewajibkan seseorang itu menunaikan zakat.Lima syarat itu adalah:

1. Islam:

Hanya orang Islam diwajibkan berzakat.Pemberian daripada orang bukan Islam tidak dianggap sebagai zakat.

2. Merdeka:
Hanya Muslim yang merdeka wajib berzakat.Golongan hamba tidak diwajibkan berzakat kerana diri hamba itu sendiri adalah milik tuannya.Sekiranya si hamba mempunyai kekayaan melebihi nisab, maka tuannya yang wajib mengeluarkan zakat ke atasnya.

3.Sempurna milik (al-milk at tam) : 
Harta itu perlu dimiliki zat dan manfaatnya seratus peratus dan tiada halangan apa pun untuk digunakan dengan apa cara sekali pn (wujud hak al-tasaruf kepada pemilik harta).

4.Cukup nisab
Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan zakat atau tidak.Umumnya zakat harta disandarkan nisabnya kepada 85 gram emas.Namun, ada beberapa jenis harta yang mempunyai nisab yang berbeza dan hal ini akan diperincikan kemudian.

5.Cukup Haul (al-hawl): 

Genap setahun harta milik sempurna itu disimpan iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi.Bagi zakat pertanian dan galian, haulnya adalah semasa harta itu diperolehi.Zakat pendapatan disandarkan kepada kaedah zakat pertanian maka dikeluarkannya pada tahun semasa, sama ada semasa diperolehi, pada setiap bulan atau dikeluarkan pada hujunh haul dengan menggabungkan keseluruhan pendapatan yang diperolehi pada tahun berkenaan.


Rukun Zakat
Rukun zakat dua perkara iaitu:

  • Niat
  • Berlaku perpindahan harta daripada pembayar zakat (muzakki) kepada penerima zakat (mustahik).


Jenis-jenis Zakat
Zakat terbahagia kepada dua jenis iaitu:

1. Zakat Fitrah (badaniah)
Iaitu zakat yang diwajibkan pada bulan Ramadhan menjelang Syawal.

2. Zakat Harta (maliyyah)
Iaitu zakat yang diwajibkan ke atas harta benda seperti:

  • Emas dan perak
  • Mata wang
  • Haiwan ternakan
  • Hasil pertanian
  • Harta galian
  • Harta perniagaan


Terdapat harta zakat yang menjadi khilaf di kalangan ulama, antaranya:

  • Hutang
  • Madu
  • Hasil laut 


    Harta zakat juga berkembang mengikut perkembangan zaman.Pada masa ini, harta yang tertakluk kepada hukum zakat meliputi:


  • Pendapatan
  • Wang simpanan
  • Saham dan perlaburan

 
 
 
 
 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...