Pages

Wednesday, November 13, 2013

Pengertian Zakat



 Pengertian Zakat

Zakat berasal daripada perkataan Arab, iaitu zakaa yang bermakna bersih dan suci.Allah SWT menjelaskan makna zakaa dalam Al-Quran melalui firman-Nya:


"Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu.(As-Syams 91: 9)"

 
    Para ulama memberi makna zakaa sebagai subur, berkat dan terpuji.

    Dapat disimpulkan erti zakat iaitu membersihkan harta daripada bercampur dengan hak orang lain, kemudian menyucikan jiwa manusia daripada sifat tamak haloba dan iri hati lalu menumbuhkan sifat terpuji sesama manusia.

    Pengertian zakat daripada sudut syarak adalah harta tertentu yang dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu kepada golongan (orang-orang) tertentu (asnaf).


Kewajipan Berzakat

    Islam adalah agama tolong-menolong (ta'awun) dan agama sejahtera.Allah SWT mewajibkan zakat kepada hamba-hamba-Nya yang berkemampuan untuk membantu golongan yang memerlukan pembelaan, seterusnya menjamin kemakmuran dalam masyarakat.

    Bagi golongan kaya, zakat menjadi mekanisme yang mendidik jiwa mereka supaya sentiasa tunduk kepada Allah SWT.Dengan kata lain, ibadah zakat berupaya menyucikan jiwa golongan kaya daripada sifat-sifat tamak haloba dan mementingkan diri sendiri.

    Dengan terlaksananya amalan zakat dalam masyarakat, kekayaan tidak terkumpul dalam kalangan golongan kaya sahaja.Sebaliknya sebahagian daripada kekayaan itu dikongsi bersama golongan susah dan memerlukan.Semakin kaya umat Islam, semakin banyak zakat dapat dikutip.Semakin banyak pula harta yang dapat diagih-agihkan kepada asnaf yang layak.Natijahnya, negara menjadi makmur di bawah lembayung zakat ini.
 
Syarat-syarat Wajib Zakat

Ada lima syarat am yang mewajibkan seseorang itu menunaikan zakat.Lima syarat itu adalah:

1. Islam:

Hanya orang Islam diwajibkan berzakat.Pemberian daripada orang bukan Islam tidak dianggap sebagai zakat.

2. Merdeka:
Hanya Muslim yang merdeka wajib berzakat.Golongan hamba tidak diwajibkan berzakat kerana diri hamba itu sendiri adalah milik tuannya.Sekiranya si hamba mempunyai kekayaan melebihi nisab, maka tuannya yang wajib mengeluarkan zakat ke atasnya.

3.Sempurna milik (al-milk at tam) : 
Harta itu perlu dimiliki zat dan manfaatnya seratus peratus dan tiada halangan apa pun untuk digunakan dengan apa cara sekali pn (wujud hak al-tasaruf kepada pemilik harta).

4.Cukup nisab
Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan zakat atau tidak.Umumnya zakat harta disandarkan nisabnya kepada 85 gram emas.Namun, ada beberapa jenis harta yang mempunyai nisab yang berbeza dan hal ini akan diperincikan kemudian.

5.Cukup Haul (al-hawl): 

Genap setahun harta milik sempurna itu disimpan iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi.Bagi zakat pertanian dan galian, haulnya adalah semasa harta itu diperolehi.Zakat pendapatan disandarkan kepada kaedah zakat pertanian maka dikeluarkannya pada tahun semasa, sama ada semasa diperolehi, pada setiap bulan atau dikeluarkan pada hujunh haul dengan menggabungkan keseluruhan pendapatan yang diperolehi pada tahun berkenaan.


Rukun Zakat
Rukun zakat dua perkara iaitu:

  • Niat
  • Berlaku perpindahan harta daripada pembayar zakat (muzakki) kepada penerima zakat (mustahik).


Jenis-jenis Zakat
Zakat terbahagia kepada dua jenis iaitu:

1. Zakat Fitrah (badaniah)
Iaitu zakat yang diwajibkan pada bulan Ramadhan menjelang Syawal.

2. Zakat Harta (maliyyah)
Iaitu zakat yang diwajibkan ke atas harta benda seperti:

  • Emas dan perak
  • Mata wang
  • Haiwan ternakan
  • Hasil pertanian
  • Harta galian
  • Harta perniagaan


Terdapat harta zakat yang menjadi khilaf di kalangan ulama, antaranya:

  • Hutang
  • Madu
  • Hasil laut 


    Harta zakat juga berkembang mengikut perkembangan zaman.Pada masa ini, harta yang tertakluk kepada hukum zakat meliputi:


  • Pendapatan
  • Wang simpanan
  • Saham dan perlaburan

 
 
 
 
 




No comments:

Post a Comment